Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Status underdog bukan tiket besar untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mudah, apatah lagi untuk meraih sokongan lebih 5.7 juta pengundi baharu berusia 18 tahun dan ke atas.

Perkara itu diakui Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sambil menyatakan komitmennya untuk memenangi Parlimen Titiwangsa pada 19 November ini.

“Saya akan masuk ke gelanggang PRU15 di kerusi Parlimen P119 Titiwangsa ini sebagai underdog tetapi akan bertungkus-lumus secara habis-habisan untuk memenangi kerusi tersebut dari rakan-rakan pencabar lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan lapan calon awal daripada Pejuang bagi menghadapi PRU15 pada 19 November ini.

Selain Khairuddin, tujuh calon lain ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan mempertahankan kerusi Jerlun; Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu); Datin Che Asmah Ibrahim (Sepang); Mior Nor Haidir Suhaimi (Tapah); Harumaini Omar (Hulu Selangor) dan Mohd Shaid Rosli (Kuala Selangor) dan Dr Mahathir (Langkawi).

Dalam pada itu, Khairuddin komited untuk bertanding atas dasar semangat kekeluargaan dan secara profesional tanpa mengizinkan sebarang bentuk kempen yang tidak beretika ataupun serangan peribadi berlaku dalam kawasan P119 Titiwangsa.

“Para pencabar semua dalam kalangan sahabat karib dan kempen berbentuk provokasi juga tidak akan diizinkan sama sekali di kerusi Parlimen P119 Titiwangsa,” katanya.

Tambahnya, beliau yakin para pengundi sudah bijak menilai prestasi calon daripada GTA, apatah lagi beliau sendiri sudah berkhidmat di Parlimen Titiwangsa hampir dua.

“Kali ini merupakan ibu kepada seluruh sejarah pilihan raya dan sekiranya rakyat salah memilih berkemungkinan besar akan meruntuhkan keseluruhan negara kita sehingga tidak dapat untuk bangun semula.

“Masa depan bangsa serta negara terletak pada kebijaksanaan para pengundi kali ini.

“Jangan sama sekali kita memperjudikan masa depan bangsa dan negara dengan membuat pilihan yang salah lagi pada PRU15,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dr Mahathir dan kepimpinan GTA kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk bertanding di Parlimen Titiwangsa.

“Kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan tertinggi GTA serta PEJUANG merupakan suntikan semangat kepada saya untuk terus berjuang seterusnya menyumbangkan satu kerusi P119 Titiwangsa kepada GTA selepas PRU15 kelak.

“Insya-Allah, saya akan memikul amanah ini secara terbaik dan teramanah mungkin ke arah bagi memenangkan kerusi Parlimen P119 Titiwangsa ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast