Sebuah feri yang membawa 133 penumpang terkandas selepas mengalami kerosakan akibat tersangkut pada kabel boya kapal pengerukan berhampiran Terminal Feri Kuala Kedah, Langkawi pada pukul 4 petang tadi. Foto APMM

KUALA LUMPUR – Seramai 133 penumpang terkandas selepas feri mengalami kerosakan akibat tersangkut pada kabel boya kapal pengerukan berhampiran Terminal Feri Kuala Kedah, Langkawi petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Zon Maritim Kuala Kedah, Noor Azreyanti Ishak berkata, susulan kejadian kira-kira pukul4 petang itu, bot PERKASA 1224 telah diaturgerak ke lokasi sejurus menerima aduan dalam usaha membantu pihak feri dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) sebelum paras air mulai surut.

“Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah telah menerima panggilan dari JLM memaklumkan sebuah feri Starcity Express 6 yang dalam perjalanan dari Kuala Kedah ke Pulau Langkawi telah terkandas pada pukul 4.30 petang tadi di posisi 0.5 batu nautika muara Kuala Kedah.

“Sebelum menerima panggilan, feri berkenaan cuba ditunda balik oleh bot tunda (tug boat) milik sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah namun feri berkenaan telah terkeluar dari laluan dan tersangkut di beting lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebuah feri yang membawa seramai 133 penumpang dalam perjalanan dari Terminal Kuala Kedah ke Terminal Feri Penumpang Kuah, tersangkut terkandas selepas feri yang dinaiki mengalami kerosakan akibat tersangkut pada kabel boya kapal pengerukan, Foto APMM

Tambah Noor Azreyanti, kesemua mangsa melibatkan kanak-kanak lelaki dan perempuan, wanita dan lelaki yang berada di atas feri itu telah berjaya dibawa keluar oleh bot PERKASA 1224 dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Ia turut dibantu oleh beberapa bot nelayan yang berada berhampiran untuk dibawa ke Jeti Penumpang Kuala Kedah.

Beliau berkata, operasi menyelamat telah dikoordinasikan oleh Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi tamat sepenuhnya pada jam 6.30 petang.

Sementara itu, Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd., Kap­ten Baharin Baharom berkata, kejadian itu berlaku ketika feri berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Kuala Kedah ke Terminal Feri Penumpang Kuah.

Katanya, kejadian itu telah menyebabkan kerosakan pada kipas enjin feri dan pihak feri sudah memanggil bot tunda untuk menarik feri yang tersangkut kira-kira 500 meter dari terminal di sana.

“Kita telah memaklumkan insiden ini kepada Jabatan Laut dan meminta bantuan daripada bot nelayan untuk mengeluarkan kesemua penumpang sebelum air surut sepenuhnya.

“Bagaimanapun, kita tidak sempat memindahkan semua penumpang untuk menaiki feri pada pukul 5 petang tadi kerana kapal tunda mengalami kesukaran untuk rapat pada feri dan berisiko untuk turut tersangkut pada kabel tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette

ARTKEL BERKAITAN:

547 penumpang, kru feri ke Langkawi terkandas di beting lumpur