Foto Faebook kelab PSPS Riau.

KUALA LUMPUR – SPS Riau menafikan desas-desus kononnya pengurusan kelab gagal melunaskan bayaran gaji pemain selama dua bulan seperti yang tersebar di media sosial.

Menerusi satu kenyataan di Facebook kelab itu, PSPS Riau menjelaskan bahawa mereka sebenarnya lewat membuat pembayaran gaji selama 10 hari dan bukan dua bulan seperti yang didakwa.

“Ada desas-desus yang tersebar di media sosial bahawa PSPS Riau mempunyai tunggakan gaji selama dua bulan. Di kesempatan ini, pihak pengurusan ingin menegaskan bahawa isu gaji pemain tertunggak selama dua bulan adalah tidak benar.

“Untuk makluman, gaji yang belum dibayar adalah untuk September 2022 dan gaji yang akan dibayar pada bulan berikutnya adalah pada Oktober 2022.

“Di dalam kontrak antara pemain dan kelab yang telah ditandatangani tertera/ tertulis di dalamnya bahawa gaji akan dibayar pada 7hb setiap bulan berikutnya dengan tempoh tangguh 10 hari.

“Ini bermakna kelab lewat membayar dengan kiraan 10 hari dan bukan dua bulan seperti maklumat yang tersebar di media sosial,” kata kenyataan tersebut di laman Facebook rasmi kelab itu.

PSPS Riau berkata, kelab pada masa ini dalam proses menggunakan dana yang besar untuk perpindahan stadium (home base).

“Selain itu, pihak kelab masih menunggu jika ada pembelian daripada kumpulan penyokong atau individu yang berminat.

“Pemain, kakitangan kejurulatihan dan staf pasukan lain sedang dinilai dan ada yang telah ditamatkan kontrak kerana prestasi yang tidak memuaskan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa, pemilik kelab PSPS Riau, Norizam Tukiman bersedia melepaskan pemilikannya dalam kelab bola sepak Indonesia itu.

Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bagaimanapun hanya akan melepaskan kelab tersebut jika pemilik baharu dapat membayar 81 peratus saham yang bernilai 15 bilion rupiah (RM4.58 juta). – MalaysiaGazette