Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meninggalkan mahkamah selepas diperintah membela diri atas pertuduhan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya membela diri tidak akan melemahkan prinsip dan semangat penyandang kerusi Parlimen Muar ituĀ untuk berjuang membela nasib rakyat.

Ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas pendengaran keputusan berhubung empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta, Presiden Ikatan Demoktarik Malaysia (MUDA) itu berkata, beliau melibatkan diri dalam politik adalah untuk membersihkan bidang itu meskipun terdapat ugutan.

Kata Syed Saddiq, dengan keputusan mahkamah hari ini ia secara tidak langsung memberi peluang kepadanya untuk membela diri terhadap segala pertuduhan yang dihadapi.

“Sudah tiba masanya untuk saya pula diberikan peluang untuk memberikan kenyataan saksi bersumpah di dalam mahkamah selepas ini dan memanggil saksi-saksi di pihak pembelaan pula.

To tell my side of the story, so that justice can win, justice is fair,” katanya.

Ditanya sama ada keputusan yang dibuat Mahkamah Tinggi hari ini akan menyukarkan beliau berkempen untuk partinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), beliau menjawab, ia terpulang kepada rakyat untuk memutuskannya.

Katanya, di peringkat parti pula keputusan mahkamah itu akan dibincangkan.

Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Syed Saddiq membela diri atas empat pertuduhan yang dihadapinya.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar, mewakili Syed Saddiq.

Mahkamah menetapkan Syed Saddiq membela diri bermula 22 Februari tahun depan.

Syed Saddiq didakwa atas pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali yang ketika itu Penolong Bendahari Armada melakukan pecah amanah dana RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.

Bagi dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. – MalaysiaGazette