KUALA LUMPUR – “Singgah minum di Ampang petang ini,” jelas penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dalam hantaran Facebook miliknya petang ini.
Dalam suasana menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang tidak sampai sebulan lagi, kata-kata Naib Presiden PKR itu mengundang pelbagai spekulasi.
Lebih-lebih lagi apabila beliau disebut-sebut sebagai antara calon yang mungkin diletakkan oleh Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di kerusi Parlimen Ampang.
Sebelum ini, ramai yang menjangka Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin berentap dengan penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang kini bersama Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Setelah Anwar mengesahkan akan bertanding di Tambun, kerusi Parlimen Ampang kini terbuka untuk ditandingi calon-calon lain dari PKR dengan misi untuk merampas semula kubu kuat mereka itu.
Melihat kepada komen-komen netizen yang kebanyakannya penyokong PKR terhadap hantaran tersebut, rata-rata mereka berharap Nurul Izzah diberi kepercayaan untuk menentang Zuraida.
Tidak dinafikan, Zuraida yang telah berkhidmat selama tiga penggal di Ampang sebagai wakil rakyat PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PBM mempunyai kekuatan tersendiri.
PKR memerlukan calon yang berwibawa dan mudah diterima pengundi seperti Nurul Izzah sekiranya mahu Ampang kembali ke tangan parti itu.
Anwar dijadual mengumumkan calon-calon partinya di Padang MPAJ, Taman Kosas, Ampang malam ini.
Jika Nurul Izzah dinamakan sebagai calon di Ampang, ia bermakna penguasaan keluarga Anwar di Permatang Pauh sejak 1982 berakhir dan muka baharu bakal ditampilkan untuk mempertahankan kerusi tersebut. – MalaysiaGazette