KUALA LUMPUR – Semua pelajar di Institut Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional dan Tingkatan Enam diberi cuti pelepasan pada 17 hingga 21 November 2022 untuk pulang mengundi bagi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, ketetapan ini selaras dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengenai tarikh hari pengundian PRU Ke-15 yang telah ditetapkan pada 19 November 2022.
”Tempoh pelepasan yang diberikan ini adalah bagi membolehkan pelajar mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi pusat pengundian masing-masing.
”Ketetapan ini juga sebagai tanda sokongan KPM bagi pelaksanaan Undi 18 yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 1 Disember 2021 dan berkuat kuasa mulai 15 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sehubungan dengan ini, semua kelas atau aktiviti yang melibatkan pelajar dalam tempoh tersebut perlu ditangguhkan ke suatu tarikh lain. – MalaysiaGazette