Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Calon yang akan mewakili UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini  dipastikan bukan dalam kalangan  individu yang berasa dirinya lebih besar daripada perjuangan parti.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO memerlukan wakil rakyat mempunyai jati diri yang teguh.

“Calon tersebut juga tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang mahu mempunyai proksi dalam UMNO untuk memperkotak-katikkan parti menggunakan suara pemimpin dalaman UMNO.

“Mana-mana berkepala besar, berasa dirinya lebih besar daripada perjuangan parti sewajarnya tahu kedudukan dirinya.

“Ada yang ketika pembubaran Parlimen baru sedar bahawa dirinya sebenarnya milik parti, segala yang dinikmati termasuk jawatan yang pernah dipegang sebab atas dasarnya dirinya adalah ahli UMNO,” kata Ahmad Zahid.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu berkata, PRU kali ini amat mustahak kepada UMNO.

Sudah tibanya parti yang mahu kestabilan ini memastikan tidak akan muncul suara-suara sumbang daripada dalam yang akan admengkritik parti sendiri selepas pilihan raya umum.

“Tugas ini amat mencabar bagi Top Five, namun bagi kestabilan politik masa depan, keharmonian parti, disiplin parti agar pisang tidak berbuah dua kali maka kali ini UMNO amat serius bagi memastikan calon terbaik tersebut mempunyai jiwa dan roh UMNO yang luhur.

“Insya-Allah, Top Five UMNO akan pastikan calon yang dipilih nanti merupakan pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi, tidak berkepala besar, berani mempertahankan UMNO daripada diperlekehkan

“Tidak bersuara sumbang terhadap kepimpinan mereka sendiri, selain mempunyai sokongan akar umbi yang kuat tanpa mengira tempat bertanding!” jelas Ahmad Zahid.

Sementara itu beliau berkata, pergerakan bersepadu pemimpin dan ahli UMNO untuk membawa kestabilan dan kemakmuran negara menunjukkan UMNO kini bangkit dan mulai mencorak masa depan yang lebih baik.

Majlis solidariti yang diadakan di mendapat sambutan yang bersemangat tinggi.

Malah majlis tersebut dihadiri anak-anak muda yang turut bersama pemimpin pelbagai lapisan umur berdiri penuh semangat, bersedia berjuang dan mengembalikan mandat rakyat kepada BN.

“Majlis seumpama ini bukan sekadar ceremonial semata-mata. Akan tetapi lambang bahawa UMNO bangkit kembali selepas belajar daripada kekalahan BN pada PRU 2018,” kata Ahmad Zahid.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast