wong tack
Wong Tack

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack menafikan dakwaan DAP bahawa beliau tidak digugurkan daripada senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau turut menafikan bahawa DAP menawarkannya bertanding di kerusi Parlimen Cameron Highlands selepas tidak dipilih untuk mempertahankan Bentong.

“Ini adalah tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wong menjelaskan, pada 16 Oktober lalu, Jawatankuasa DAP Pahang telah memutuskan untuk tidak meletakkannya di Bentong atau mana-mana kerusi lain di Pahang.

“Saya akan lenyap dari Pahang sepenuhnya,” katanya.

Menurut beliau, akar umbi khususnya ahli-ahli DAP di Bentong memberi reaksi tidak bersetuju apabila mengetahui perkembangan tersebut.

Wong berkata, mereka mendapati keputusan DAP itu tidak logik dan mereka telah bekerja keras berkhidmat kepada rakyat selama bertahun-tahun.

“Kami telah berusaha sebaik mungkin membantu rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang politik. Ramai orang tempatan boleh mengesahkannya.

“Kami yakin rakyat akan memberi mandat kepada kita sekali lagi,” jelasnya.

Wong juga telah menjelaskan kepada DAP bahawa beliau dan ahli-ahli parti itu akan mempertahankan kerusi Parlimen Bentong.

Katanya, DAP kemudian menawarkan kerusi Parlimen Cameron Highlands namun tawaran itu ditolak serta-merta.

Wong berkata, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke meminta untuk berjumpanya pada 23 Oktober lalu dan itu merupakan kali pertama beliau bertemu dengan seorang pemimpin kanan parti berhubung perkara tersebut.

“Walaupun saya telah memaklumkan kepada parti keputusan saya mengenai kerusi Parlimen Cameron Highlands beberapa kali, beliau meminta saya memikirkannya semula.

“Saya beritahu beliau saya akan menyampaikan apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu dengan ahli-ahli akar umbi di Bentong dan menghubunginya semula dalam masa 24 jam,” katanya.

Wong menegaskan, beliau tidak memihak kepada mana-mana puak dalam DAP dan beliau tidak berminat dan tidak pernah terlibat dalam politik parti.

“Politik mesti tentang rakyat. Ia bukan permainan retorik, manipulasi atau strategi kosong hanya untuk memenangi pilihan raya.

“Ini masanya untuk mula membina sebuah platform kuasa rakyat yang sebenar dalam politik dan saya berharap ia bermula dari Bentong,” katanya.

Rabu lalu, DAP menamakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari, Young Syefura Othman sebagai calon untuk kerusi Parlimen Bentong.

Wong kemudian mengumumkan, beliau akan bertanding di Bentong sebagai calon bebas selepas namanya digugurkan. – MalaysiaGazette