Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi mengetahui keputusan perbicaraan kes yang dihadapinya iaitu empat pertuduhan berkaitan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta dan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 28 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membela diri atas empat pertuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar, mewakili Syed Saddiq.

Pada 27 September lalu, pendakwaan menutup kes berkenaan selepas 30 saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 21 Jun lalu.

Saksi terbabit termasuk ibu dan bapa Syed Saddiq, iaitu Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff dan bekas Penolong Bendahari ARMADA BERSATU, Rafiq Hakim Razali.

Turut memberi keterangan, tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip.

Pendakwaan juga menawarkan 13 saksi kepada pembelaan, termasuk dua pegawai forensik SPRM, Moses anak Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh serta rakan Syed Saddiq, iaitu Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

Syed Saddiq, 29, yang juga yang juga bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) berdepan empat tuduhan, iaitu didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta dan melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang, masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, hasil aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kisah Sadiq sigaragar dalam filem P. Ramlee Akan muncul kembali bersama tuan penasihat 25% akan diJUAL

Comments are closed.