Annuar Musa

KOTA BHARU – Penyandang Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, menegaskan beliau tidak akan bertanding di kawasan lain sekiranya ditawarkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Annuar yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh berkata, prinsip itu dipegangnya selama ini, kerana mahu berkhidmat di tempat beliau dilahirkan.

“Walaupun saya pernah kalah pada PRU tahun 2008, saya tidak berpindah kerana saya tidak mahu bertanding di tempat lain, itu prinsip saya.

“Cara politik ialah masing-masing. Ada sesetengah orang setiap penggal berpindah tetapi saya memilih untuk menawarkan diri berkhidmat di tempat kelahiran saya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) Melor, di sini hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada beliau akan kekal bertanding di Parlimen Ketereh, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pihaknya telah melakukan proses sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti dan ia akan ditentukan oleh pucuk pimpinan.

“Kita ikut perlembagaan parti yang mana peringkat bahagian sudah mencadangkan nama calon dan serahkan kepada Badan Perhubungan UMNO negeri, sebelum dirujuk kepada pusat.

“Mengikut perlembagaan jika mereka mahu memilih calon lain iaitu bukan senarai yang kita cadangkan, parti hendaklah berunding semula dengan bahagian berkenaan dan setakat ini tiada rundingan semula berlaku,” katanya. – BERNAMA