KUCHING – Daftar pemilih terkini Sarawak mengikut rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bertambah kepada 1,943,074 orang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah itu meningkat 59.14 peratus berbanding 1,220,960 pemilih yang direkodkan ketika PRU14.
Katanya, caripada jumlah terkini itu, seramai 825,791 adalah pengundi berumur 21 hingga 39 tahun yang menjadi kategori paling ramai, manakala berumur 18 hingga 20 tahun seramai 129,034 orang.
“Daftar Pemilih Sarawak yang terkini itu merekodkan seramai 975,618 bersamaan 50.21 peratus adalah pengundi lelaki dan 967,456 (49.79 peratus) pengundi wanita.
“Daripada keseluruhan pengundi, 25,799 orang adalah pemilih Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu 25,782 OKU pemilih biasa, tujuh OKU tentera dan pasangan serta 10 OKU polis dan pasangan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Wan Junaidi, jumlah pengundi awal pula mencatatkan sedikit pengurangan iaitu 22,127 berbanding 24,545 mengikut rekod daftar pemilih PRU14.
Kata beliau, daftar keseluruhan juga menunjukkan majoriti pemilih adalah mereka yang berusia di bawah 60 tahun iaitu 1,539,645 orang, manakala 355,413 pemilih berusia 60 tahun ke atas.
Katanya, seramai 38,148 petugas akan bertugas untuk PRU15 melibatkan 1,943 pusat mengundi termasuk 55 pusat mengundi awal dengan 4,286 jumlah saluran.
“Sebanyak 1,943 pusat pengundi telah diwartakan melibatkan sekolah, rumah panjang dan beberapa premis lain yang dikenal pasti.
“Daripada jumlah itu, 74 pusat pengundi yang terletak di kawasan pedalaman, tidak mempunyai akses telekomunikasi,” katanya.
“Bagi mengatasi kekurangan di 74 pusat mengundi ini, SPR mendapat kerjasama syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk memastikan semua pusat mengundi itu mendapat liputan perhubungan dan komunikasi tidak terjejas,” kata beliau.
Jelasnya lagi, kerjasama dengan SKMM turut diadakan bagi memastikan semua pusat penamaan calon mempunyai liputan komunikasi hari penamaan calon 5 November ini agar berjalan lancar.
Selain itu, kata Wan Junaidi, SPR juga mendapat kerjasama Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung rekod percukaian dan status kebankrapan calon yang akan bertanding.
“SPR mendapat kerjasama Peguam Negara semasa hari penamaan calon untuk memberi nasihat undang-undang kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya sekiranya berlaku kekeliruan dan masalah berkaitan undang-udang.
“Bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya kali ini, SPR Sarawak telah bersedia dengan pelbagai persediaan melibatkan logistik udara, air dan darat.
“Malah, sekiranya berlaku banjir ketika pilihan raya berlangsung, SPR Sarawak juga sudah merancang pelbagai kaedah bagi melancarkan perjalanan proses demokrasi dengan kerjasama bersama semua agensi keselamatan,” katanya.
Katanya, beliau telah diberi taklimat oleh Timbalan Pengarah (Operasi) SPR Sarawak, Hamfatullah Syawal Hamdan semalam dan berpuas hati dengan segala persiapan SPR untuk menghadapi PRU15 di negeri itu khususnya pada hari penamaan calon 5 November ini dan hari pengundian 19 November.
Beliau menyeru semua calon, pengundi dan pekerja parti sentiasa bekerjasama dengan SPR dan tidak melanggar undang-undang serta peraturan pilihan raya bagi membantu melicinkan perjalanan proses pengundian. – MalaysiaGazette