Wong Hon Wai (kanan) bergambar bersama penyandang Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto. - Gambar FB Hon Wai

GEORGE TOWN – DAP mungkin menggugurkan penyandang kerusi Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sumber MalaysiaGazette berkata, Hon Wai tidak akan bertanding mana-mana kerusi untuk DAP pada pilihan raya ini dan beliau akur dengan keputusan tersebut.

“Kerusi yang disandang Hon Wai akan digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid.

“Hon Wai merupakan ahli parlimen kedua yang digugurkan DAP daripada bertanding PRU15 selepas penyandang kerusi Batu Kawan, Kasthuri Patto mengumumkan kerelaannya mengundur diri bagi memberi laluan kepada calon lain,”katanya hari ini.

Untuk rekod, Hon Wai menewaskan calon Barisan Nasional, Yong Kim Seng dengan majoriti undi sebanyak 40,731 pada PRU14.

Beliau juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam selama dua penggal bermula 2008 hingga 2013.

Tambah sumber, calon DAP Pulau Pinang juga bakal menyaksikan pertukaran kerusi membabitkan beberapa pemimpin pada PRU ini.

“Saya tak dapat nak beri maklumat lanjut berhubung pertukaran kerusi ini kerana satu mesyuarat akan diadakan hari ini untuk muktamadkan keputusan tersebut.

“Antara inti pati mesyuarat termasuk persoalan sama ada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow akan bertanding pada PRU15 atau bertukar kerusi.

“Selain itu, isu membabitkan pengisian calon di Parlimen Tanjung serta Batu Kawan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesahkan parti itu kekal bertanding tujuh kerusi Parlimen di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Tujuh kerusi Parlimen itu adalah sama dengan jumlah kerusi yang ditandingi DAP pada pilihan raya sebelum ini. – MalaysiaGazette