Dua beradik yang dirakam berkelakuan tidak senonoh dalam surau dakwa hanya gurauan menurut ibu bapa mereka dalam kejadian minggu ini di Banting Selangor.

KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengenal pasti dua individu yang tular berkelakuan tidak senonoh di sebuah surau di Banting, Kuala Langat dekat sini baru-baru ini sebagai adik-beradik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, dua beradik lelaki masing-masing berusia 14 dan 21 tahun itu menetap di Seremban, Negeri Sembilan.

Berdasarkan keterangan yang diambil daripada keluarga pelaku, mereka singgah ke Banting jam lebih kurang pukul 3.30 petang pada Selasa lalu dari Shah Alam bersama ibu bapa dan seorang beradik perempuan berusia 19 tahun untuk bercuti dan makan di restoran di Pekan Banting.

“Kira-kira pada jam lebih kurang pukul 4.30 petang pada hari kejadian, keluarga itu telah singgah di sebuah surau yang terletak di pekan Banting untuk menunaikan solat.

“Selesai solat, kedua adik-beradik (pelaku) tersebut bergurau di dalam surau tersebut tanpa disedari perbuatan mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) surau itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Ridhwan, berdasarkan keterangan ibu bapa pelaku itu, adik-beradik lelaki berkenaan mempunyai hubungan yang rapat dan selalu suka bergurau.

Menurut salah seorang daripada adik-beradik itu, dia hanya membetulkan seluarnya dan bergurau serta tiada sebarang niat untuk berkelakuan tidak senonoh di dalam surau tersebut.

“Keterangan kedua-dua pelaku (adik beradik) dan ibu bapa mereka telah selesai dirakam oleh polis dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk arahan lanjut,” tegasnya lagi.

Pada Khamis lalu, polis menerima satu laporan polis daripada seorang bilal surau berkenaan yang berusia 54 tahun selepas melihat rakaman CCTV memaparkan dua orang lelaki telah melakukan aksi tidak senonoh.

Sebelum itu, satu satu rakaman CCTV berdurasi satu minit 49 saat yang memaparkan tindakan melampau dua lelaki dikatakan berkelakuan sumbang di dalam sebuah surau telah tular di media sosial. – MalaysiaGazette