wee ka siong
Wee Ka Siong hadir ke Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 OKTOBER 2022.

BATU PAHAT – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Barisan Nasional (BN) tidak gentar dengan strategi Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) terutamanya di kerusi Parlimen Ayer Hitam.

Beliau berkata, BN bukanlah satu parti baharu, malah kewibawaan calon juga sudah semestinya diakui penduduk negeri itu.

“Saya sendiri pernah berdepan dengan calon Melayu pada 2004 di Ayer Hitam. Sekarang DAP letak calon Melayu, itu cara mereka. Kita dengan cara kita.

“Kita tidak selalu tukar calon. Siapa pun calon mereka, kita (BN) tidak pernah menyekat malah menyambut baik dan melawan secara rasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Daerah Batu Pahat dan Progam Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Perdana, hari ini.

Kelmarin, Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai calon kerusi Parlimen Ayer Hitam pada PRU15.

Sebelum ini, Ka Siong mempertahankan Ayer Hitam selepas menewaskan Liew Chin Tong dengan majoriti undi 303 undi.

Dalam pada itu Ka Siong berkata, beliau turut yakin pengundi muda akan memilih BN berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast