dap rasis
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menyifatkan dakwaan kononnya Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan partinya tidak rasis adalah kepura-kepuraan DAP yang terhebat.

Menurut beliau, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), DAP menang lebih banyak kerusi berbanding parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) tetapi ia bersetuju tunduk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Shahrir berkata, DAP sanggup berbuat demikian walaupun Bersatu mempunyai bilangan kerusi yang paling kecil.

“Mengapa Rishi Sunak jadi Perdana Menteri United Kingdom (UK)? Kerana dia dipilih pemimpin parti Konservatif yang mempunyai majoriti dalam House of Commons. Itu amalan biasa politik.

“Pemimpin DAP anggap diri mereka pakar strategi politik dan setuju letak wakil parti komponen PH, seorang Melayu sebagai Perdana Menteri. Ini amalan luar biasa kerana Bersatu lagi kecil bilangan dalam Dewan Rakyat berbanding DAP,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Guan Eng semalam berkata, rakyat Malaysia tidak sepatutnya terjerat dengan isu kaum dan agama sekiranya ingin negara maju ke hadapan sebagaimana UK menjadikan pemimpin dari kaum minoriti berketurunan India dan Hindu sebagai Perdana Menteri.

Guan Eng mendakwa, apabila seorang pemimpin bukan beragama Islam menjadi menteri pasti akan wujud bantahan sedangkan kita sepatutnya menghormati kesemua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Shahrir menambah, DAP perlu menggunakan orang Melayu seperti Dr. Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk ‘membunuh’ UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Beliau memberitahu, DAP boleh ‘menyelesaikan’ MCA, Gerakan dan MIC bila-bila masa sahaja.

“Guan Eng dan DAP kepuraan ‘berbilang kaum’ tapi sebenarnya rasis,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast