Larry Sng

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggantung 12 ahli majlis tertinggi termasuk Datuk Zuraida Kamarudin kerana melanggar disiplin parti.

Penggantungan itu berkuat kuasa serta-merta.

Mereka ialah Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr Sathiskumar A/L Govindaraju, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage dan Abdul Aziz Abdul Kadir.

Turut digantung, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Datuk Chua Lian Chye, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Larry Sng dalam kenyataannya berkata, tindakan ini berhubung penglibatan berterusan mereka yang menjejaskan kepentingan parti dan kepimpinannya.

”Saya amat membenci dan mengecam muslihat politik sedemikian yang telah menjejaskan kepercayaan kepimpinan saya dan telah menyebabkan banyak kekeliruan kepada ahli parti dan masyarakat umum.

”Oleh itu, jawatan mereka akan digantung sehingga jawatankuasa tatatertib ditubuhkan untuk meneliti perkara itu selepas pilihan raya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, satu Mesyuarat Majlis Tertinggi akan diadakan pada Ahad ini, 30 Oktober 2022, di Sarikei, Sarawak, pada jam 4 petang memandangkan perkara ini amat mendesak, untuk membincangkan dan menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

Katanya, beliau akan melaksanakan peruntukan Fasal 21 (ii) perlembagaan parti untuk membenarkan mesyuarat diadakan kurang daripada notis tujuh hari yang diperlukan.

”Mereka yang telah digantung kerja tidak akan dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

“Surat penggantungan mereka telah dihantar kepada mereka secara individu,” ujar beliau. – MalaysiaGazette