Anwar Ibrahim. Foto MUHD NA’IM, 29 OKTOBER 2022.

BANGI – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, tidak semua pemimpin daripada parti itu perlu diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, muka-muka baharu seperti golongan generasi baharu perlu diberi peluang untuk bertanding pada pilihan raya tersebut.

“Saya ingin tegaskan (kepada) Tian Chua, tidak semua perjuangan itu harus melalui jalur pilihan raya.

“Kita perlukan sokongan tokoh-tokoh lama ini dalam parti untuk terus bimbing anak-anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Muktamar Nasional kali ke-16, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan bekas naib presiden PKR, Tian Chua hari ini apabila memberi amaran bahawa langkah PKR menggugurkan beberapa Ahli Parlimen menjelang PRU15 boleh menjejaskan parti.

Menurut Tian Chua, terdapat ramai dalam kalangan ahli parrti itu kecewa dengan keputusan yang tekahb dibuat pucuk pimpinan dalam memilih calon-calon untuk bertanding di beebrapa kerusi dalam pilihan raya berkenaan.

Antara bekas ahli Parlimen PKR yang tidak akan mempertahankan kerusi mereka termasuk, Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), R Sivarasa (Sungai Buloh), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), June Leow (Hulu Selangor), Johari Abdul (Sungai Petani) dan Chan Ming Kai (Alor Setar).

Dalam pada itu Anwar berkata, pihaknya akan memberi perhatian terhadap teguran Tian Chua kerana beranggapan bekas ahli Parlimen Batu itu mempunyai banyak jasa dan khidmatnya kepada parti.

“Semalam saya jumpa dia sebentar dengar pandangan beliau.

“Sepertimana saya sebut dalam ucapan (pengumuman calon PKR semalam), tidak boleh semua dikekalkan. Kalau dikekalkan semua orang beri sumbangan jadi generasi baru tak mungkin bangkit,” tambahnya. – MalaysiaGazette