Khairuddin BN
Gambar bersama Ahmad Maslan yang dikongsi Mohd. Khairuddin Aman Razali (kiri) dalam laman Facebook miliknya pada 6 Oktober lalu.

SEJAK dilihat berada di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur pada hari yang sama dengan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) 6 Oktober lalu, timbul pelbagai spekulasi mengenai pendirian politik penyandang kerusi Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Lebih-lebih lagi pada malam yang sama, bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas itu memuat naik gambarnya berjabat tangan dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam laman Facebook miliknya.

Ada yang menyangka beliau telah menyertai UMNO atau sekurang-kurangnya memberi sokongan terhadap parti itu dan Barisan Nasional (BN) setelah tidak lagi bersama Pas sejak 14 Mac lalu.

Setakat ini, Mohd. Khairuddin masih mengunci mulut tentang perkara itu dan seorang sumber yang rapat dengan beliau menyatakan ‘akan diumumkan bila tiba masanya’.

Hari ini, hantaran Mohd. Khairuddin dalam laman Facebook mencetuskan spekulasi sekali lagi apabila beliau menulis tentang ‘kestabilan dan kemakmuran’ yang merupakan tema kempen Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dalam hantaran tersebut, beliau berkata, kestabilan dalam bahasa Arab yang disebut istiqrar bermaksud tetap dan tenang serta ia adalah nikmat kurniaan Allah SWT untuk manusia merasakan nikmat kemakmuran hidup.

Mohd. Khairuddin menambah, kestabilan adalah alat untuk manusia mencapai matlamat kemakmuran dalam kehidupan.

“Kenyang adalah keperluan hidup manusia. Negara yang boleh mengenyangkan rakyatnya daripada kelaparan dengan membina ekonomi yang baik adalah negara yang makmur.

“Aman juga adalah keperluan hidup. Selamat nyawa dan tubuh-badan daripada ancaman bunuh dan luka. Aman harta benda daripada dicuri, dirompak dan ditipu. Selamat maruah dan kehormatan daripada pencabulan,” katanya.

Beliau memberitahu, negara yang mampu menyediakan keamanan sosial bagi rakyat adalah negara yang makmur.

“Maka negara yang berjaya mencipta kestabilan dengan jaminan kenyang dan aman adalah negara yang makmur,” jelasnya.

Mohd. Khairuddin juga merupakan antara tokoh yang teguh memperjuangkan kerjasama politik antara Pas dan UMNO melalui platform Muafakat Nasional (MN).

Terdapat desas-desus berhubung beliau berkemungkinan besar akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Nerus.

Melihatkan perkongsian hantarannya hari ini, kita mungkin boleh membaca parti manakah yang akan diwakilinya. Mungkin ya atau tidak.

Apa pun, melihat kepada perkongsian dalam laman Facebook miliknya, Mohd. Khairuddin terus bergiat aktif menyantuni masyarakat di sekitar kawasan Parlimen Kuala Nerus selepas meninggalkan Pas.

Hanya Mohd. Khairuddin yang mempunyai jawapan terhadap segala spekulasi yang timbul berhubung kemungkinan beliau bertanding di kerusi yang disandangnya selama dua penggal itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak aman lah kalau pendapatan kena gst nanti . Kamu menteri dan orang kaya boleh cakap apa saja nak tipu rakyat yang tak tahu apa tentang negara

Comments are closed.