Pasukan keselamatan menyerbu sebuah pusat hiburan di Jalan sultan malam tadi. Foto iIhsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Polis menangkap 20 orang pondan dalam Op Bersepadu Aktiviti Hiburan di sebuah pusat hiburan di Jalan Sultan, malam tadi.

Operasi bermula 10 malam itu disertai Bahagian Siasatan Jenayah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) serta Bahagian Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, operasi itu memeriksa 62 orang iaitu 53 lelaki dan sembilan wanita berusia dalam lingkungan 19 hingga 57 tahun.

“Daripada jumlah itu, dua lelaki berusia 27 tahun dan 29 tahun didapati positif dadah THC dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala, seramai 20 lelaki berusia dalam lingkungan 22 tahun hingga 34 tahun yang berpakaian dan berlagak seperti wanita ditahan Jawi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Seramai 20 pondan berpakaian wanita di sebuah pusat hiburan di ibu negara berjaya diberkas polis dan Jawi dalam serbuan malam tadi. Ihsan IPD Dang Wangi

Kesemua mereka sedang disiasat dibawah Seksyen 28 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Beliau menegaskan, polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta membuat pemantauan ke atas aktiviti kelab yang tidak mematuhi undang-undang.-MalaysiaGazette