Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid diiringi Pengurusan PTPTN merasmikan Majlis Penutup BMS 2022 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya
mencatat terimaan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN)
sebanyak RM144 juta sepanjang Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2022.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, jumlah itu atau 96
peratus berbanding RM150 juta yang disasarkan berlangsung bagi tempoh 1
Oktober sehingga 28 Oktober lalu.

Beliau yakin jumlah sasaran tersebut mampu dicapai memandangkan BMS akan
tamat esok.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid menyampaikan ucapan sempena Majlis
Penutup BMS 2022 dan Sambutan Hari Tabungan Sedunia.

BMS 2022 merupakan program signature PTPTN yang dilaksanakan bermula tahun
2018.

Ia adalah salah satu usaha menyebarluas manfaat Simpan SSPN kepada Keluarga Malaysia bersempena dengan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31
Oktober setiap tahun.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki berkata, BMS amat signifikan dengan Hari Tabungan Sedunia kerana kedua-duanya untuk meningkatkan literasi kewangan dan budaya menabung yang perlu diterapkan dalam diri individu.

Jelas beliau, atas semangat itu, PTPTN memilih untuk menganjurkan BMS pada bulan Oktober setiap tahun mulai tahun 2018 dengan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan Hari Tabungan Sedunia.

Menurutnya, tahun ini merupakan tahun kelima PTPTN menganjurkan program ini untuk Keluarga Malaysia.

Sementara itu, bersempena bulan menabung pada tahun ini, PTPTN turut memberikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime RM100 kepada kelahiran bayi baharu bulan Oktober tahun 2022 dalam pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu Program Junior Superhero Simpan SSPN Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022.

“Pelaksanaan program ini bertujuan untuk menanam budaya menabung dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan penabungan serta perancangan kewangan sedari awal untuk jaminan masa hadapan bagi tujuan pendidikan tinggi melalui Simpan SSPN,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Pengerusi PTPTN, Dr. Apli Yusoff, dalam usaha memperkasakan budaya penabungan, PTPTN turut bekerjasama dengan institusi kewangan dan rakan rakan strategik dengan mengadakan pelbagai program dan aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tahun ini untuk meningkatkan kesedaran dan menyemai pengetahuan mengenai kewangan.

“PTPTN akan terus komited meningkatkan kesedaran masyarakat untuk terus menabung di dalam Simpan SSPN bagi mengelakkan kebergantungan kepada pinjaman.

“PTPTN yakin usaha ini akan disokong oleh semua pihak bagi merealisasikan visi PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara,” tambah beliau.

Muaz dan Nurul Shadila mengacarakan Chit Chat Hari Tabungan Sedunia bersama
selebriti jemputan Amyra Rosli, Amar Bahrain dan anak-anak

Sementara itu, bertemakan ‘Blok’ dengan mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero Anak Anda, BMS 2022 telah dilaksanakan secara on-ground event pada 1 dan 2 Oktober lalu serentak di 14 negeri seluruh negara.

Program ini juga diadakan sepanjang bulan Oktober bermula 1 Oktober hingga esok secara dalam talian di peringkat negeri dan nasional.

Tema ‘Blok’ yang dipilih adalah amat signifikan dengan usaha berterusan, perancangan dan ketelitian untuk membina masa hadapan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast