JELI – Dua lelaki termasuk seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditahan bersama 850 kilogram (kg) daun ketum dalam kejadian di Kampung Rabbana, di sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Jeli, Supt Ahmad Ariffin berkata, anggota bomba berusia 30 tahun itu ditahan bersama rakannya ketika membawa sebuah van milik JBPM melalui sekatan jalan raya dari arah Grik ke Jeli pada 10.34 pagi.
“Anggota polis kemudiannya mengekori van tersebut yang dalam keadaan mencurigakan dan mengarahkan suspek supaya memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan lanjut dalam van tersebut menemukan 85 bungkusan hitam berisi daun ketum yang setiap satu seberat 10 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM8,500,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli, hari ini.
Ahmad berkata, kedua-dua suspek direman bermula 27 Oktober hingga 1 November untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 168 Kanun Keseksaan, Seksyen 171 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kedua-dua suspek bagaimanapun negatif dadah dan dipercayai melakukan perbuatan tersebut beberapa kali menggunakan modus operandi sama sejak awal Oktober dengan upah sebanyak RM3,000 bagi satu perjalanan,” katanya. – Bernama