Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan bermain badminton sebagai gimik perasmian Kejohanan Badminton Piala Datuk Seri M.Saravanan di Kompleks Sukan Tapah, Perak. Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

TAPAH – Penyandang kerusi Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan yakin Barisan Nasional (BN) akan mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kata beliau, keyakinannya berdasarkan golongan muda yang dilihat akan menyertai gelombang menolak pembangkang yang hanya menabur berjanji menjelang pilihan raya tanpa menunaikannya selepas itu.

“Saya lihat walaupun golongan muda juga telah memainkan peranan dalam menukar kerajaan pada PRU-14 dengan mengharapkan pelbagai perubahan retorik dijanjikan oleh pembangkang namun kini mereka sendiri lihat bagaimana undi mereka itu tidak membawa apa-apa perubahan kepada mereka.

“Sejurus selepas Pakatan Harapan (PH) menang besar, terus intonasi mereka berubah. PH dakwa mereka tidak mampu melaksanakan apa-apa yang mereka janjikan kerana hutang negara terlampau banyak,” kepada MalaysiaGazette selepas Kejohanan Badminton Piala Datuk Seri M Saravanan di Kompleks Sukan Tapah, di sini, hari ini.

Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M. Saravanan beramah mesra dengan peserta-peserta badminton semasa hadir bagi merasmikan Kejohanan Badminton Piala Datuk Seri M.Saravanan di Kompleks Sukan Tapah, Perak. Foto AFFAN FAUZI, 29 OKTOBER 2022.

Jelas Saravanan, kerajaan ketika itu mendakwa tidak ada duit untuk membawa perubahan yang terdapat manifesto mereka.

“Pelik sekali kerana apabila kerajaan itu tumbang selepas 22 bulan, ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih (Perikatan Nasional), berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk kegunaan rakyat.

“Sebenarnya, pembangkang enggan berbelanja untuk pembangunan rakyat sebaliknya mahu berterusan retorik sahaja walaupun ketika memegang kerajaan, menuding jari salahkan kerajaan terdahulu dan tidak mahu membela atau bekerja untuk rakyat,” ujarnya.

Beliau yang merupakan Menteri Sumber Manusia berkata, golongan muda kini telah sedar dan mereka tidak mahu diperdayakan sekali lagi.

Menurut Saravanan, golongan itu mahukan kerajaan yang stabil dengan masa depan terjamin selain mahukan negara maju membangun.

“Jangan fikir senang untuk berterusan gunakan kenyataan fitnah, pembohongan serta janji bulan bintang. Kini semua sudah celik, pandemik Covid-19 juga telah membawa kesedaran yang begitu mendalam dalam kalangan rakyat kita siapa sebenarnya pembela mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette