KUALA LUMPUR – Berbaki beberapa hari sebelum pengumuman rasmi calon Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, UMNO Bahagian Batu hari ini meminta agar kerusi itu diberikan kepada mereka.
Menurut Ketua Bahagian UMNO Batu, Datuk Yahya Mat Ghani, perkara itu harus dipertimbangkan pucuk pimpinan UMNO kerana bahagian itu sudah lama memberikan laluan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk ditandingi.
“Selama ini UMNO bekerja untuk rakan BN iaitu Gerakan dan mereka sudah tidak ada bersama kita, inilah peluang terbaik kepada UMNO untuk kita meletakkan calon kita.
“Kita yakin ia boleh menang dengan kecelaruan yang ada di pihak PH dan beberapa parti lain yang agak ramai yang akan menawarkan diri,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Perkata itu dizahirkan Yahya selepas mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid pada jam 12 tengahari tadi di pejabatnya.
Pertemuan itu bagi meminta kerusi itu diserahkan kembali kepada UMNO pada PRU15 yang dijadualkan berlangsung 19 November depan.
Yahya berharap perkara itu akan diberi pertimbangan khusus memandangkan UMNO sudah melakukan gerak kerja yang menyeluruh terutama selepas PRU14.
“Presiden minta kita bersabar dan teruskan gerak kerja jentera bergerak seperti biasa dan terus santuni pengundi di Parlimen Batu dan dalam sedikit masa lagi dia akan buat keputusan.
“Saya beritahu kepada Presiden keputusan biarlah menggembirakan ahli UMNO di bahagian Batu.
Yahaya berkata, pihaknya dikhabarkan kerusi Parlimen Batu akan diserahkan kepada Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), namun pihaknya merayu agar parti mempertimbangkan semula keputusan tersebut.
“Kita dikhabarkan Parlimen Batu akan diserahkan kepada Parti Kimma (Friends of BN) tetapi sebenar ia masih dalam proses.
“Presiden kata masih ada masa dan dia jua akan buat ground work dan jumpa dengan parti komponen untuk melihat sokongan kepada UMNO sebab kehadiran hari ini adalah semua ketua cawangan dan pengerusi PDM yang sangat mengharapkan supaya kerusi Parlimen Batu ini diberikan kepada UMNO,” katanya lagi.
Sebelum ini, P Prabakaran memenangi kerusi Parlimen Batu pada PRU14 lalu dengan memperolehi 38,125 undi menewaskan calon BN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mendapat undi 13,687, calon Pas, Azhar Yahya (10,610) dan seorang lagi calon Bebas, Datuk V M Panjamothy (383).
Kemenangan Prabakaran dibantu oleh penyokong PKR yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada calon muda itu selepas Tian Chua tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen itu apabila borang pencalonannya ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya ketika penamaan calon berikutan denda mahkamah berkaitan kesnya. – MalaysiaGazette