Ismail Sabri Yaakob

BERA – Perdana Menteri hari ini memberi jaminan akan melihat semula Insentif Pengeluaran Getah (IPG), sekiranya beliau menerajui semula Putrajaya selepas  Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau ambil maklum ramai yang mahu paras pasaran getah itu dinaikkan lagi.

”Pengerusi RISDA  sudah berkali-kali memohon supaya paras RM2.50 (sekilogram) ini dinaikkan dan perkara ini pun sudah saya bincang dengan Menteri Kewangan.

“Kita akan lihat perkara ini insya-Allah kalau diberi peluang memerintah semula, saya  akan perhatikan perkara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Kampung Batu Papan hari ini.

Hadir sama Pengerusi RISDA Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah Program Tanam Semula Getah dengan sasaran
keluasan 20,000 hektar, kini telah melebihi 10,000 hektar dengan penyertaan sebanyak 7,180 pekebun kecil.

RISDA juga menerima permohonan tanam semula getah seluas 18,524 hektar daripada 12,381 pekebun kecil di seluruh negara

Bagi meningkatkan pendapatan menerusi produktiviti hasil getah, kerajaan telah memperkenalkan Skim Insentif Produktiviti Getah (SIPG) melibatkan peruntukan sebanyak RM31.1 juta bagi mencapai pengeluaran hasil sebanyak 1,800kg/ hektar/tahun

Dalam ucapannya, Ismail Sabri menambah,  Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) yang dinikmati oleh pekebun-pekebun kecil getah di negara ini akan dinaikkan sebanyak RM200 kepada RM800 jika Barisan Nasional (BN) dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Dengan kenaikan itu, kerajaan akan memperuntukan sebanyak RM256 juta selama empat bulan kepada pekebun kecil RISDA dan Felda seramai 320,000 orang.

“Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan lebih besar kepada masyarakat pekebun kecil iaitu peningkatan sebanyak 18.1 peratus berjumlah RM600 juta berbanding RM508 juta yang disalurkan pada tahun ini.

”Peruntukan ini membuktikan kerajaan amat prihatin kepada pembangunan sektor komoditi getah yang diusahakan oleh pekebun kecil,” tambahnya.

Baru-baru ini di Tapah, Perak, Ismail Sabri telah mengumumkan kelulusan sejumlah RM191 juta BMT yang melibatkan seramai 232,319 pekebun kecil RISDA.

Kesemua pekebun kecil bakal menerima bantuan sebanyak RM600 yang disalurkan secara berperingkat iaitu RM300 pada bulan hadapan dan RM300 pada bulan Disember ini.

”Bagi BMT di negeri Pahang, sukacita diumumkan seramai 24,237 pekebun kecil bakal menerima bantuan pada bulan hadapan dan Disember dengan jumlah peruntukan berjumlah RM14.54 juta,” tambahnya.

Menurut beliau, pada pembentangan Bajet 2023 yang lalu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion kepada sektor komoditi yang turut melibatkan RISDA sebagai antara agensi utama yang mengawal selia aktiviti komoditi.

Antara inisiatif yang akan dilaksanakan bagi memajukan sektor komoditi negara ialah peruntukan RM315 juta bagi Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah Pekebun Kecil untuk menggantikan pokok getah tua untuk manfaat 387,000 pekebun kecil.

Program Pembangunan Semula Hasil Baharu bagi menggalakkan pekebun kecil meneroka pendapatan baharu selain getah seperti tanaman makanan jangka pendek dengan peruntukan RM40 juta.

Bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah, Insentif Pengeluaran Lateks diperkenalkan bersamasama dengan program TARGET untuk menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui koperasi.

Tambahnya, kerajaan turut memperkenalkan Skim Perlindungan Pertanian untuk melindungi pengusaha pertanian daripada sebarang risiko luar kawalan seperti cuaca, penyakit dan makhluk perosak, bermula dengan pesawah padi.

Selain itu, bagi orang Asli di Bera, Projek Tanam Semula Ladang Orang Asli akan dilaksanakan merangkumi kerjakerja penanaman semula getah dan kelapa sawit. – MalaysiaGazette