Presiden Arema FC, Gilang Widya Pramana. Foto Twitter Arema FC.

KUALA LUMPUR – Presiden Arema FC, Gilang Widya Pramana melepaskan jawatan beliau selepas hampir sebulan Tragedi Kanjuruhan yang menyebabkan korban nyawa berlaku sehingga menggemparkan dunia bola sepak di peringkat antarabangsa.

Keputusan yang dibuat Gilang itu telah diumumkan beliau sendiri ketika sesi sidang media semalam yang berlangsung di ibu pejabat Arema.

“Secara jujur, saya sangat bangga untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Arema kerana berjaya membawa pasukan tersebut kembali kuat.

“Pada tahun pertama saya menjawat jawatan tersebut sahaja, kelab ini telah memberi kejayaan iaitu dengan menjuarai Piala Presiden. Detik itu tidak akan sesekali saya lupakan.

“Menjadi presiden untuk kelab ini boleh dianggap sebagai suatu penghormatan buat diri saya yang pada asalnya hanya pemegang saham untuk Arema,” jelas Gilang menerusi CNN Indonesia.

Gilang memberitahu,  faktor trauma dan kesedihan yang masih lagi dirasai sehingga kini menjadi sebab Gilang untuk mengundur diri daripada kelab itu.

“Ketika ini saya akui merasa sangat trauma dan masih bersedih dengan tragedi tersebut sehingga menyebabkan motivasi sendiri agak jatuh.

“Disebabkan itu saya telah pun memutuskan untuk berehat daripada sebarang aktiviti bola sepak.

“Menerusi situasi yang terjadi ketika ini, saya rasa Arema perlukan seseorang yang lebih baik untuk membawa kelab tersebut menjadi lebih baik dan kuat.

“Jadi untuk itu saya memutuskan secara rasmi untuk meletak jawatan sebagai presiden bagi Arema FC,” tambah beliau yang lebih popular dipanggil Gilang Juragan 99.

Sebelum itu, Gilang telah pun menjalani pemeriksaan yang dikendalikan oleh pihak polis mengenai insiden besar yang berlaku membabitkan perlawanan antara Arema dan Persebaya Surabaya.

Insiden tersebut telah pun mengorbankan 135 nyawa serta ratusan yang lain mengalami kecederaan selain beberapa fasiliti stadium rosak teruk.

Keganasan mula berlaku apabila ratusa penyokong menyerbu masuk padang perlawanan sebaik sahaja wisel penamat sah dibunyikan oleh pengadil bertugas ketika itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast