Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjalani prosedur dan pemeriksaan kesihatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) selama beberapa hari, bermula hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda akan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara setelah menjalani pemeriksaan kesihatan yang dijangka selesai hujung minggu ini.

“Adalah dimaklumkan juga bahawa kesihatan Seri Paduka Baginda secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah dijadualkan menjalani prosedur itu pada pertengahan September lepas tetapi ditangguhkan.

Beliau berkata, penangguhan itu berikutan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke London, United Kingdom selama lima hari bermula 16 September lalu bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara Ratu Elizabeth II.

“Seluruh rakyat diseru bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda menjalani prosedur tersebut serta pemeriksaan kesihatan susulan dengan lancar dan baginda dikurniakan keafiatan yang berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast