Home Nasional Balu nelayan terkejut terima faedah Perkeso

Balu nelayan terkejut terima faedah Perkeso

BALIK PULAU – Balu nelayan yang lemas di Jeti Kuala Sungai Pinang, di sini, tidak tahu arwah suaminya mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang kini membantu mereka sekeluarga meneruskan kehidupan.

Nor Shafiza Sabri, 39, berkata, dia hanya tahu arwah suaminya, Allahyarham Kamal Din, 54, merupakan pencarum Perkeso pada Ogos lalu selepas diberitahu persatuan unit nelayan Pulau Betong.

Nor Shafiza.

“Saya mendapat khabar bahawa nelayan Kuala Sungai yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia termasuk suami mencarum Perkeso jadi saya hubungi agensi berkenaan.

“Tak sangka banyak persediaan dibuat arwah dan hanya Allah sahaja yang tahu betapa leganya menerima faedah bulanan ini kerana tentu dapat banyak membantu urusan saya menjaga anak tunggal kami selepas ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Air Putih, di sini, hari ini.

Terdahulu, Perkeso menyerahkan cek Faedah Pengurusan Jenazah (FPJ) sebanyak RM2,000 kepada suri rumah itu.

Selain itu, Nor Shafiz yang mempunyai anak tunggal, Intan Nur Azmina, 13, akan menerima bayaran Faedah Orang Tanggungan (FOT) berjumlah RM945 setiap bulan.

Difahamkan Pulau Pinang mempunyai 5,000 nelayan namun hanya 4,000 daripada mereka berdaftar dengan LKIM.

Sementara itu, Pengurus Perkeso Georgetown,  Mohd Asri Mohd Rasid berkata, bayaran bulanan kepada Nor Shafiza merupakan bayaran berterusan.

Mohd Asri.

“Bagaimanapun sekiranya apa-apa berlaku kepada Nor Shafiza nilai itu akan terus disalur kepada anaknya sehingga berusia 21 tahun.

“Kita juga galakkan nelayan yang tidak berdaftar dengan LKIM tampil untuk membuat caruman sendiri memandangkan ia akan memberi manfaat yang besar kepada keluarga mereka sekiranya sesuatu buruk menimpa nelayan tersebut.

“Berdasarkan rekod kita, hanya 30 peratus nelayan yang tidak berdaftar ini melakukan caruman,” ujar beliau. – MalaysiaGazette