KUALA LUMPUR – Kesatuan sekerja di Malaysia perlu menyuarakan pembelaan terhadap nasib pekerja Palestin yang ditindas oleh Israel.
Malah kesatuan itu juga perlu bersuara lantang supaya Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengambil inisiatif mengangkat isu tersebut dengan tegas, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
“Kami juga mengusulkan sebuah koalisasi pekerja Malaysia untuk Palestin dan Al Quds supaya dwiujudkan. Dengan platform ini pekerja di Malaysia boleh menyumbang untuk membantu pekerja Palestin sama ada dari sudut hak mahupun kebajikan dan nasib keluarga pekerja.
“MAPIM telah mengambil inisiatif mengwujudkan jaringan pekerja Malaysia bersolidariti bersama Palestin dan Al Quds yang tujuannya untuk membina sebuah saluran perhubungan pekerja Malaysia bagi menjalinkan hubungan dengan pekerja Palestin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azmi menegaskan, sejak penjajahan Israel pada 1967 ke atas Tebing Barat dan Gaza Palestin, Israel telah mewujudkan situasi dimana warga Palestin berada dalam keadaan ekonomi tertekan dan mereka terpaksa bergantung kepada zionis.
Penjajahan Israel ke atas Palestin itu telah diguna untuk menjadikan pasaran buruh Palestin diekploitasi dalam pelbagai sektor ekonomi di Israel, ujarnya.
Katanya lagu, Israel mendapat dua sumber pekerja Palestin di mana warga negara itu yang berada di Israel sebagai rakyat dan kedua pekerja Palestin dari kawasan yang ditakluki oleh mereka dari pendudukan haram di Tebing Barat dan dari Gaza.
Tambah beliau, kedua-dua sumber pekerja itu telah dieksploitasi oleh majikan- majikan di Israel dan disebabkan itu pekerja Palestin tiada pilihan dan terpaksa bekerja dalam keadaan ditindas serta hak pekerja dinafi sama sekali.
Justeru Mohd Azmi berkata, satu persidangan akan diadakan di Istanbul selama dua hari bermula pada 20 hingga 21 Disember ini yang perbincangannya akan menyentuh mengenai pekerja Palestin.
Sehubungan itu beliau menggesa, supaya wakil dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dapat hadir bersama dalam persidangan yang akan diadakan nanti. – MalaysiaGazette