SHAH ALAM – Bob Jeffry Bob Fauzi Ziegler berdepan tiga tuduhan pecah amanah membabitkan tuntutan palsu sebanyak RM433,557 atas kapasitinya sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di sebuah syarikat minyak dan gas tempatan hadir di Mahkamah Sesyen hari ini untuk proses serahan dokumen.
Bagaimanapun, Bob Jeffry hadir bersendirian apabila MalaysiaGazette difahamkan peguamnya terlibat dengan kemalangan.
Namun, proses serahan dokumen tetap diteruskan di hadapan hakim, Muhamad Anas Mahadzir.
Sebagai rekod, Bob Jeffery, 37, yang juga adik kepada pelakon, Julia Ziegler pada 26 September lalu mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah apabila mengemukakan tuntutan palsu bagi memperoleh wang ratusan ribu untuk kegunaannya.
Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dipenjara kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun bagi setiap pertuduhan.
Dalam masa yang sama, tertuduh juga berhadapan dengan hukuman sebat dan denda jika didapati bersalah.
Dalam pada itu, mahkamah hari ini menetapkan 5 Disember depan untuk proses serahan dokumen yang seterusnya.-MalaysiaGazette