Sentuhan Busker ketika membuat persembahan busking di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 31 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) bercadang berbincang dengan beberapa kementerian bagi mencari kaedah untuk menjaga kebajikan pemuzik jalanan termasuk bayaran royalti.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika berucap semasa hadir ke perjumpaan bersama komuniti busker Kuala Lumpur di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 31 OKTOBER 2022.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, perbincangan tersebut akan melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Pemuzik jalanan dikenakan bayaran yang tinggi termasuk cukai yang terpaksa mereka tanggung sedangkan mereka mengadakan pertunjukan percuma, jadi saya harap kementerian kewangan dapat menyediakan bajet khusus supaya persembahan mereka dibayar melalui peruntukan bukan dari poket mereka sendiri.

“Sesetengah tempat kerajaan tempatan mengenakan bayaran yang tinggi untuk mereka membuat persembahan jalanan, jadi kalau boleh kita nak bincang supaya ianya diberi secara percuma atau bayaran yang minimum,” katanya.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika bergambar kenangan bersama komuniti busker Kuala Lumpur semasa hadir ke perjumpaan bersama komuniti busker Kuala Lumpur di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 31 OKTOBER 2022.

Beliau berkata demikian selepas program Sesi Santai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia bersama Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan Malaysia, di sini, hari ini.

Menurut Zahidi, bagi bayaran royalti, beliau berusaha supaya kerajaan dapat membantu pemuzik jalanan mendapat hak cipta di bawah KPDNHEP

“Bagi pemuzik jalanan yang tidak terlibat, kita mahu bentuk satu jawatankuasa untuk bantu dan antara cadangannya adalah tubuh yayasan atau buat perbadanan muzik.

“Kita harap kerajaan di bawah industri kreatif dapat menyediakan sedikit peruntukan khusus bagaimana dapat membantu kebajikan mereka termasuk dari segi perumahan,” ujarnya.

Tambah Zahidi, melalui inisiatif MyCreative Ventures, pihaknya akan lihat bagaimana untuk mengadakan pertunjukan yang dianjurkan sendiri yang bertujuan memberi peluang kepada pemuzik jalanan mengadakan persembahan mereka.

Presiden Persatuan Sahabat Penghibur Jalanan Malaysia, Muhammad Aizad Azman ketika bercakap pada media mengenai komuniti busker Kuala Lumpur di hadapan Kompleks Sogo, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 31 OKTOBER 2022.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sahabat Penghibur Malaysia, Muhammad Aizad Azman berkata, Zahidi banyak membantu pemuzik jalanan yang mana beliau berusaha keras untuk membela kebajikan golongan itu.

“Tok Di (Zahidi) sendiri berusaha keras untuk membuat pemuzik jalanan ini dipermudah semua urusan dari segala tekanan royalti dan lesen,” katanya kepada media.

Tambah Muhammad Aizad, beliau merasakan ada pihak tertentu yang merancang membuat keuntungan ke atas pemuzik jalanan dengan mengenakan royalti terhadap lagu-lagu ‘cover’ kepada pemilik asal lagu.

“Sebagai pemuzik jalanan, dan demi sahabat lain, kami tak nak pemuzik jalanan diberi tekanan kerana pendapatan kami tidak menentu, kadang untung dan sebaliknya.

“Dunia kami banyak rintangan dengan hujan yang tidak menentu, jadi misinya ialah pentas keamanan, pentas persaudaraan,” ujarnya. – MalaysiaGazette