Dua individu yang merupakan kakitangan sebuah hospital swasta direman polis membantu siasatan merosakkan kholam Deepavali yang disediakan di bangunan hospital tersebut selepas tular sejak Sabtu lalu.

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan dua kakitangan sebuah hospital swasta di Klang selepas disyaki terlibat dalam perbuatan merosakkan hiasan lantai Deepavali atau kholam yang disediakan di ruang legar bangunan hospital tersebut.

Tangkapan itu menyusul selepas video yang memaparkan insiden itu telah tular di media sosial yang kemudian dikesan polis sejak 29 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, suspek pelaku dan juga rakannya yang bertindak merakam video jenayah itu telah diberkas polis malam tadi.

“Untuk makluman, polis telah berjaya menahan dua individu yang terlibat dalam perbuatan merosakkan hiasan kholam Deepavali dalam kejadian di sebuah hospital swasta di Klang.

“Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 20 dan 30-an itu merupakan kakitangan yang berkhidmat di hospital swasta berkenaan telah ditahan selepas hadir dan memberi keterangan kepada polis di IPD Klang Utara jam lebih kurang pukul 11 malam tadi,” katanya hari ini.

Tambah Vijaya Rao, kedua-dua suspek kini telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi dan dibenarkan direman selama tiga hari sehingga Rabu ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan lanjut polis dalam kes terbabit.

ARTIKEL BRKAITAN: Lelaki rosakkan kolam akan dipanggil beri keterangan

Katanya kes sedang disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja memudaratkan atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun.

Terdahulu, Vijaya Rao dalam kenyataan pada Ahad lalu mengesahkan polis sedang menyiasat insiden tersebut yang individu terlibat dalam perbuatan itu akan dipanggil pada Isnin untuk membantu siasatan.

“Pada Sabtu lalu sekitar jam 7.45 malam pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara mengesan satu klip video tular berdurasi 37 saat di TikTok yang memaparkan kelibat seorang lelaki sedang berjalan dengan kasut di atas (perhiasan) kholam.

“Sehubungan dengan itu, Ketua Balai Polis Bandar Baru Klang telah membuat satu laporan dan suspek akan dipanggil ke IPD Klang Utara esok (Isnin) bagi membantu siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu Hospital KPJ Klang dalam satu kenyataan  semalam juga menegaskan satu siasatan dalaman telah dimulakan selepas individu yang didakwa sebagai kakitangannya dikaitkan dalam insiden tular di premis bangunan mereka.

“Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan jelik dan tidak profesional daripada mana-mana kakitangan mereka.

“Kami telah melancarkan siasatan dalaman terhadap video serta insiden tular itu dan tindaka tegas akan diambil jika kakitangan kami terbukti terlibat dalam insiden itu,” kata KPJ Klang dalam kenyataan itu. – MalaysiaGazette