KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil seorang lelaki yang disyaki merosakkan hiasan lantai perayaan Deepavali, dikenali kolam, di sebuah pusat perubatan di Klang untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Samachulu berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu adalah kakitangan pusat perubatan tersebut akan diambil kerterangan esok.
“Pada Sabtu sekitar jam 7.45 malam pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara mengesan satu klip video tular berdurasi 37 saat di TikTok yang memaparkan kelibat seorang lelaki sedang berjalan dengan kasut di atas (perhiasan) kolam.
“Sehubungan dengan itu, Ketua Balai Polis Bandar Baru Klang telah membuat satu laporan dan suspek akan dipanggil ke IPD Klang Utara esok (Isnin) bagi membantu siasatan lanjut polis,” kata dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Vijaya Rao, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja memudaratkan, atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan.
Sementara itu, menurut kenyataan pusat perubatan itu, ia sedar tentang penyebaran klip video membabitkan suspek yang didakwa sebagai kakitangannya yang tular di media sosial.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan jelik dan tidak profesional daripada mana-mana kakitangan mereka,” ujarnya.
Katanya, pusat perubatan berkenaan telah melancarkan siasatan dalaman terhadap video yang tular itu dan tindakan akan diambil jika didapati kakitangan terlibat dalam insiden tersebut. -MalaysiaGazette