JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong dijangka diletakkan di parlimen Tebrau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau dikatakan calon sesuai untuk membantu Barisan Nasional (BN) merampas kerusi tersebut.
Untuk rekod, pada PRU14, Parlimen Tebrau dimenangi oleh Steven Chong yang mewakili PKR pada waktu itu dengan majoriti 37,225 undi.
Setakat ini Nicole bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH)-PKR yang juga bekas Exco Johor dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah.
MCA juga dikatakan akan mempertaruhkan orang muda iaitu Timbalan Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam parti itu yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Johor, Chua Jian Boon, 29, bertanding di Kulai.
Jian Boon akan berdepan calon PH-DAP iaitu bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang juga merupakan penyandang kerusi parlimen Kulai.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong akan terus mempertahankan kerusi parlimen Ayer Hitam dan akan berdepan Naib Pengerusi DAP negeri yang juga bekas Exco Johor, Sheikh Umar Ali.
Selain itu, MCA dijangka meletakkan Datuk Chua Tee Yong di parlimen Labis, Datuk Jason Teoh (Iskandar Puteri), Datuk Seri Wee Jeck Seng (Tanjung Piai), Gan Ping Sieu (Kluang) dan Datuk Chris Lee Ching Yong (Bakri). – MalaysiaGazette