Antara barangan yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah kondominium di Kepong, Kuala Lumpur yang dijadikan pusat panggilan judi dalam talian. Foto: Ihsan IPD Sentul.

KUALA LUMPUR – Sebuah kondominium di Metro Prima Barat, Kepong, di sini, yang dijadikan pusat panggilan kegiatan judi dalam talian diserbu polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan itu polis menahan dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan judi dalam talian itu.

“Hasil pemeriksaan lanjut, berjaya membawa kepada rampasan empat buah komputer dan empat buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah modem komputer, serangkai kunci rumah bersama kad akses dan 10 keping kad prabayar telefon disyaki untuk mengesan dan menjerat mangsa judi online,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Eng Lai, hasil siasatan mendapati premis yang disewa RM1,500 sebulan itu baru beroperasi sebulan untuk menjalankan kegiatan haram itu.

Menurut beliau, kedua-dua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan judi haram ini boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206. – MalaysiaGazette