Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media mengenai situasi semasa penularan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 31 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin sedia menerima mana-mana kawasan baharu yang diberikan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, terserah kepada pucuk pimpinan parti untuk mengumumkan senarai calon dalam masa terdekat ini.

“Biarlah pucuk pimpinan parti yang umum dan saya terima mana-mana kawasan diberikan,” katanya yang juga Menteri Kesihatan.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas namanya tidak berada dalam senarai calon BN di Negeri Sembilan tetapi dikatakan bakal bertanding di Parlimen Sungai Buloh, Selangor.

Sebelum ini, Khairy memberi gambaran beliau akan mempertaruhkan nasib pada PRU15 di kerusi yang dimenangi oleh parti lawan pada PRU14 lalu.

Tanpa mendedahkan kerusi di Parlimen mana, Khairy berkata, buat masa ini terdapat tiga pilihan kawasan yang sedang dipertimbangkan dan beliau secara terbuka menerima cabaran berkenaan.

Sebelum ini khairy mengumumkan memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di Parlimen Rembau pada PRU15 nanti.

Ia sekali gus menjadi teka-teki kerusi mana yang akan ditandingi Khairy nanti.

Namun tiga kerusi Parlimen lain di Negeri Sembilan yang disebut-sebut akan diwakili Menteri Kesihatan itu termasuk Kuala Pilah, Tampin dan Port Dickson.

Kuala Pilah dan Tampin sebelum ini dikatakan antara kerusi kubu kuat BN di negeri itu namun tewas pada PRU15 lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast