Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Husin (kiri) dan Ketua Eksekutif Foodpanda Malaysia, Sayantan Das (kanan) mematerai MoU di Ibu Pejabat Foodpanda, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Agrobank menyediakan pembiayaan sehingga RM200 juta kepada vendor dan rakan penghantar Foodpanda di bawah Program Pembiayaan PEMULIH NewBiz Agrobank.

Program ini merupakan skim pembiayaan mikro bagi vendor foodpanda  untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka melalui HomeChef.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Husin  berkata, pemohon akan diberi moratorium untuk enam bulan pertama dan dikenakan kadar keuntungan 3.0 peratus untuk tempoh tujuh bulan dengan tempoh pembiayaan maksimum sehingga 60 bulan.

“Pembiayaan ini boleh digunakan untuk pembelian aset tetap dan modal untuk memulakan perniagaan menerusi foddpanda HomeChef.

“Sehingga hari ini, lebih 5,000 vendor HomeChef telah berdaftar di bawah foodpanda Malaysia,” katanya pada sidang  media selepas memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara Agrobank dan Foodpanda Malaysia, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Badli Shah, kerjasama ini akan meningkatkan visi untuk menerajui sektor pertanian negara melalui produk pembiayaan patuh syariah.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Foodpanda Malaysia, Sayantan Das berkata, syarikat itu percaya skim pembiayaan ini akan memperkasakan keusahawanan bagi merancakkan pertumbuhan perniagaan tempatan.

“Foodpanda tidak berfungsi sebagai pasaran pasif semata-mata yang mana vendor boleh berhubung dengan pelanggan mereka, tetapi kami berusaha untuk memupuk dan menyokong mereka untuk mencapai potensi penuh mereka.

“Kami yakin dengan kerjasama Agrobank ini, kami dapat memberikan perubahan besar kepada usahawan di platform ini,” katanya. -MalaysiaGazette