Pengerusi Amanah Negeri Pahang, Zulkifli Mohamad (kanan) ketika mendengar Taklimat Kanun sempena sempena pengumuman dan Majlis Serahan Surat Lantikan Calon Parti Amanah Pahang di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Parti Amanah Negara (Amanah) Pahang mempertaruhkan sebanyak 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan empat kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Pengerusi Amanah Negeri Pahang, Zulkifli Mohamad berkata, pemilihan calon pada kali ini merupakan 80 peratus muka baharu dan lama yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Pada PRU14 lalu, sebanyak 11 kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen ditandingi namun pada kali ini berlaku pertambahan lima kerusi bagi kerusi DUN serta tiga kerusi Parlimen.

“Kali ini Amanah Pahang menampilkan 80 peratus muka baharu sebagai calon dan hanya sebilangan kecil daripada calon yang bertanding adalah penyandang kerusi sebelum ini.

“Jadi, daripada 16 kerusi DUN dipertandingkan, kita menampilkan 13 muka baharu dan tiga muka lama manakala empat calon kerusi Parlimen juga adalah calon baharu,” kata Zulkifli selepas Majlis Serahan Surat Lantikan Calon Parti Amanah Pahang di sini hari ini.

Dalam pada itu, seramai empat calon Parlimen bagi parti berkenaan diumumkan pada Ahad lalu iaitu P084 Paya Besar (Ahmad Azam Mohamad Salleh), P086 Maran (Ahmad Shuhor Awang), P087 Kuala Krau (Juhari Osman) dan P088 Temerloh (Hasbie Muda).

“Dua calon wanita yang akan bertanding di DUN Guai ialah Noraini Abdul Ghani dan Sabrina Md Yusof pula akan bersaing di DUN Tanjung Lumpur juga pernah bertanding pilihan raya yang lalu.

“Antara calon termuda yang turut disenarai sebagai calon adalah Pengarah Komunikasi dan Media Baharu negeri, Ahmed Wafiuddin Shamsuri dan Ahli Jawatankuasa pemimpin kawasan Kuala Krau, Ahmad Arif MD Daud,” katanya.

Zulkifli pula akan bertanding di kerusi DUN Beserah. – MalaysiaGazette