KUALA LUMPUR – Kenyataan terbaharu vateran DAP, Lim Kit Siang berkaitan ketuanan Melayu didakwa tidak langsung menyumbang kepada perpaduan kaum.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berisiko menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.
Justeru Ahmad Zahid menggesa Kit Saing menghentikan unsur perkauman dalam kempen politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Berhentilah DAP dengan anasir kempen seperti ini. Ketuanan Melayu tentang keistimewaan orang Melayu, raja-raja Melayu, agama Islam dan bahasa Melayu.
“Termaktub sejak sekian lama tanpa sedikit pun menafikan hak dan peluang kaum lain di bumi Malaysia,” kata Ahmad Zahid.
Kit Siang hari ini dilaporkan berkata, Malaysia memerlukan konsep Ketuanan Malaysia bukan Ketuanan Melayu jika mahu menjadi negara majmuk bertaraf dunia.
Katanya, konsep Ketuanan Melayu cuma penyamaran kepada ‘Umnoputra’ yang didakwanya menjadi kaya raya ketika golongan bumiputera sebenar miskin dan tertinggal.
Dasar ‘ketuanan Melayu’ , menurut Kit Siang, bertentangan dengan prinsip asal pembinaan Malaysia bahawa Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak adalah rakyat Malaysia yang sama rata dan tiada golongan kelas pertama, kedua atau ketiga.
“Apakah maksud beliau terdapat golongan kelas pertama, kedua, atau ketiga antara kaum di negara ini? Seolah-olah mahu menggambarkan berlaku diskriminasi dalam kalangan kaum di Malaysia.
“Sedangkan semua menyaksikan rakyat berbilang kaum berada di pelbagai peringkat terpenting di Malaysia,” kata Ahmad Zahid dalam Facebook.
Beliau berkata, parti DAP sejak sekian lama berada dalam kancah politik Malaysia tanpa sebarang sekatan dan halangan.
Begitu juga dalam hierarki sektor korporat serta tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dari golongan profesional sehingga kepada peserta ekonomi gig.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Anwar calon PM komited laksana ‘Ketuanan Malaysia’- Kit Siang