Lee Chean Chung.- Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2022.

PETALING JAYA – Sebanyak 5.8 juta pemilih baharu telah dimasukkan dalam Daftar Pemilih untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk Undi18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik (AVR).

Daripada jumlah itu, 1.2 juta adalah pendaftar pemilih berumur antara 18 hingga 21 tahun, manakala 4.6 juta berumur 21 tahun ke atas.

Pengarah Komunikasi Keadilan, Lee Chean Chung berkata, dalam pertemuannya dengan anak muda dan pengundi baharu, didapati ada dua kumpulan dalam kalangan mereka.

Kumpulan pertama, katanya, mereka yang tidak sedar sebagai pengundi yang berhak memilih pimpinan negara, manakala kumpulan kedua, golongan yang bersedia untuk mengundi 19 November ini, tetapi mengalami masalah kewangan untuk pulang membuang undi.

“Kumpulan pertama ini perlukan dorong dan galakkan untuk mereka keluar mengundi, manakala kumpulan kedua iaitu kumpulan yang belum berdikari kerana masih ramai di kalangan mereka adalah pelajar dan baru mula bekerja.

“Bagi memenuhi hasrat supaya kadar pengundian kekal tinggi dan supaya mereka keluar mengundi, kita cadangkan satu Insentif Demokrasi secara one-off diberikan kepada semua mereka.

“Insentif Demokrasi ialah tanggungjawab kerajaan membiayai tiket dan perbelanjaan mereka untuk pulang mengundi terutama kepada pengundi baharu berumur 18 hingga 21 tahun,” katanya pada sidang media khas di ibupejabat PKR di sini, hari ini.

Menurut Chean Chung, kerajaan peralihan sekarang wajar mempertimbangkan cadangan itu agar semua pengundi muda iaitu Undi18 dan AVR dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih berdaftar. – MalaysiaGazette