Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama timbalannya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai hadir pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan bertanding di 169 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, daripada jumlah kerusi Parlimen, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di 74 kerusi diikuti Pas (64 kerusi), Parti Gerakan (20 kerusi) dan kumpulan Bersekutu (11 kerusi).

Katanya, bagi kerusi DUN yang melibatkan PRU di Perlis, Pahang dan Perak, Bersatu bertanding 41 kerusi manakala Pas (57 kerusi), Gerakan (14 kerusi) dan kumpulan Bersekutu (empat kerusi).

“Kita telah sepakat untuk pertandingan di Kelantan dan Terengganu semua calon PN akan menggunakan lambang bulan.

“Bagi negeri lain, calon bertanding menggunakan lambang PN,” katanya berucap pada majlis pengumuman calon PN di MITEC di sini malam ini.

Muhyiddin yakin PN akan memperoleh lebih 112 kerusi dan membentuk kerajaan Persekutuan pada 20 November ini. – MalaysiaGazette