Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – DAP perlu menghentikan anasir perkauman dalam kempen politik parti itu kerana tindakan itu tidak menyumbangkan kepada perpaduan kaum.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, kempen yang dilakukan veteran DAP, Lim Kit Siang berisiko menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.

“Pilihan raya adalah elemen terpenting demokrasi, bukan elemen yang berisiko meranapkan kebersamaan masyarakat.

“Apakah maksud beliau terdapat golongan kelas pertama, kedua atau ketiga antara kaum di negara ini?

“Beliau seolah-olah mahu menggambarkan berlaku diskriminasi dalam kalangan kaum di Malaysia.

“Sedangkan, semua menyaksikan rakyat berbilang kaum berada di pelbagai peringkat terpenting di negara ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Ujar beliau, sosioekonomi, sosiopolitik dan segala-galanya yang menjadi acuan negara ini sejak dulu.

Malah, Barisan Nasional (BN) sebagai contoh, merangkumi pimpinan dan ahli parti terdiri daripada pelbagai kaum.

Katanya, DAP sendiri sejak sekian lama berada dalam kancah politik Malaysia tanpa sebarang sekatan dan halangan.

“Begitu juga dalam hierarki sektor korporat serta tenaga kerja di Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa.

“Daripada golongan profesional sehingga kepada peserta ekonomi gig. Berhentilah DAP dengan anasir kempen seperti ini.

“Ketuanan Melayu mengenai keistimewaan orang Melayu, Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu termaktub sejak sekian lama tanpa sedikit pun menafikan hak dan peluang kaum lain di bumi Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast