Noor Hariri Mohamed Noor

KOTA BHARU – Terungkai sudah senarai calon Barisan Nasional (BN) Kelantan yang diumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Senarai nama yang dikemukakan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub adalah mereka daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman serta muka baru dan muka lama.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, ia mengambil kira keperluan dan keadaan politik semasa dengan menampilkan tiga calon wanita muda anak kelahiran Kelantan.

“Walaupun tidak dapat memuaskan hati semua pihak dan penyokong, saya lihat ini satu bentuk pembaharuan dan rejuvenasi yang berani oleh Pengerusi BN dalam memberi kemenangan sekurang-kurangnya sembilan kerusi untuk membolehkan BN menubuhkan kerajaan pusat.

“Kita mestilah berjiwa besar dan berlapang dada dengan pilihan yang telah dibuat ini. Tentunya percaturan yang berbeza kali ini akan membuahkan hasil berbeza daripada sebelumnya.

“Harapan saya kepada calon BN ini, buatlah sehabis baik dalam memenangi hati jentera dan pengundi,” katanya.

Beliau berkata, calon BN yang berkempen sambil lewa akan dianggap seolah mensabotaj amanah yang telah parti berikan kepada mereka.

Dalam pengumuman calon malam tadi, Kelantan menampilkan sekurang-kurangnya tujuh muka baharu, dua muka lama dan lima calon yang mengetuai parti peringkat bahagian termasuk pernah bertanding sebelum ini.

Senarai calon BN Kelantan yang akan bertanding PRU15 pada 19 November ini ialah Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin kerusi Pengkalan Chepa, Rosmadi Ismail (Kota Bharu), Datuk Ab. Ghani Harun (Pasir Mas), Zulkarnain Yusoff (Rantau Panjang). Nurul Amal Mohd Fauzi (Kubang Kerian).

Mohd Zain Yasim kerusi Bachok, Marzuani Ardila Ariffin (Ketereh), Bakri @ Mohd Bakri Mustapha (Tanah Merah), Zawawi Othman (Pasir Puteh), Ahmad Jazlan (pertahankan kerusi Machang), Norwahida Patuan (Jeli), Mohamed Zulkepli Omar (Kuala Krai) dan Tengku Razaleigh Hamzah (pertahankan Gua Musang).

Bagaimanapun, untuk kerusi Parlimen Tumpat belum ada senarai. – MalaysiaGazette