KUALA LUMPUR – DAP mahu mengangkat golongan wanita apabila parti itu menampilkan 14 calon wanita daripada 55 calon Parlimennya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata, DAP berjaya mencatatkan 25.4 peratus calon wanita iaitu menghampiri 30 peratus yang diminta sayap parti wanita itu.
Menurut beliau, walaupun ada berpendapat jumlah itu masih tidak mencukupi, peratusan itu masih tertinggi di kalangan parti politik lain.
“Ada kata tidak cukup namun dari segi peratusan DAP mencapai jumlah calon wanita paling tinggi dalam kalangan parti politik lain khususnya Barisan Nasional di mana gabungan itu dari 100 lebih calon hanya 18 wanita dipertaruhkan.
“Namun DAP pula menampilkan 14 calon wanita dan belum dicampur dengan parti komponen seperti PKR dan Amanah.
“Kita kena ada pendekatan inklusif supaya tiada kaum tertinggal dalam DAP dan kita akan ke arah pendekatan lebih inklusif kepelbagaian dan akan diterjemahkan dalam barisan calon kita.
“DAP bangga dapat tampil barisan calon terdiri pelbagai kaum dan inilah kepelbagaian serta lebih penting saya suka umumkan bahwa dari 55 kerusi calon parlimen, 14 calon adalah wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Watikah Calon Pakatan Harapan – DAP di sini hari ini.
Anthony turut memberitahu, DAP turut mempertaruhkan 21 calon bawah 40 tahun yang menjadikan purata umur 45 tahun di kalangan semua calon di Parlimen.
“Di Perlis kita lawan satu kerusi diwakili pengerusi kita dan di Perak bertanding 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana daripada 19 calon, enam adalah wanita.
“Di Pahang pula daripada lapan calon DUN, dua adalah wanita iaitu 25 peratus.
“Di semua peringkat ada penglibatan wanita dalam barisan pencalonan kita yang telah dimuktamadkan,” katanya. – MalaysiaGazette