BANGI – Blok politik baru, Gerakan Tanah Air (GTA) akan bertanding di 121 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia bagi memastikan gabungan itu dapat mendirikan kerajaan selepas 19 November ini.
“Kita akan tanding 121 kerusi Parlimen dan perlu 111 kerusi untuk kemenangan.
“Mungkin kita tak dapat semua kerusi tapi kemungkinan kita menang memang ada,” katanya dalam ucapan pengumuman calon GTA untuk PRU15 di Pusat Konvensyen Bangi, di sini, hari ini.
Hadir sama adalah Tun Dr Hasmah Mohd Ali, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali, Presiden parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim dan Presiden Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN), Datuk Mohammed Mosin Abdul Razak.
Pejuang akan bertanding 59 kerusi atas nama GTA.
Daripada jumlah itu, setakat ini, Putra diberikan 34 kerusi, Berjasa lapan kerusi dan IMAN 5 kerusi.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, sejumlah 121 kerusi yang diketengahkan hari ini adalah calon bersih dan berintegriti.
“Kita letak calon yang tidak terlibat dengan jenayah dan tidak terlibat dengan segala kegiatan tidak baik untuk parti.
“Calon-calon kita mempunyai integriti, amanah dan mereka diyakini mampu untuk jadi pemimpin negara dengan cara yang baik untuk memulih semula kebaikan negara kita Malaysia,” ujar Mahathir.
Bagi calon-calon Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tiga negeri, akan diumumkan esok dan lusa. – MalaysiaGazette