Ahli Jawatankuasa UMNO Pasir Salak, Dr. Faizal Tajuddin (tengah) menunjukkan petiseyen mengekalkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai calon P.073 Pasir Salak sempena Pilihan Raya Umum ke-15 pada sidang media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengguguran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pasir Salak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hanya mengundang perpecahan dalam kalangan akar umbi UMNO Bahagian Pasir Salak.

Naib Ketuanya, Dr Faizal Tajuddin mendakwa, tindakan itu tidak selari dengan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Pasir Salak yang hanya menamakan Tajuddin sebagai calon tunggal Parlimen kawasan itu.

“Dengan pengumuman tadi, apa yang berlaku perpecahan dalam sekelip mata UMNO Bahagian Pasir. Tak dapatkah top 5 dan Presiden UMNO faham senario ini bahawa ia boleh berlaku.

“Presiden UMNO tetap dengan pendirian untuk menukar calon. Seluruh UMNO Pasir Salak telah mencalonkan hanya nama beliau sahaja dibawa kepada peringkat tertinggi sebagai calon PRU15.

“Usul mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Salak yang berlangsung pada 2022 semua perwakilan sebulat suara bersetuju supaya meminta top 5 menerima cadangan UMNO Bahagian Pasir Salak.

“Cadangan itu ialah calon Parlimen Datuk Seri Tajuddin, calon DUN Sungai Manik, Khairul Azwan dan calon Kg Gajah Datuk Dr Nur Asyiqin,” katanya pada sidang media di Seri Pasifik, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, tular di media sosial senarai 10 pemimpin UMNO yang tersingkir daripada pencalonan Parlimen bagi mewakili BN dalam PRU15 pada 19 November ini.

Antara nama yang disebut-sebut itu ialah Tajuddin (Pasir Salak), Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang), Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Dr Faizal juga melahirkan rasa hairan apabila ada beberapa pimpinan UMNO yang sebelum ini dengan terpalit dengan pelbagai kesalahan masih dikekalkan sebagai calon Parlimen, sedangkan jasa Tajuddin mengembalikan kekuatan UMNO dan BN selepas tewas pada PRU14 tidak diendahkan.

“Senarai calon-calon yang dibentangkan sebentar tadi, ada lagi dan saya tidak mahu menyebut nama itu yang jauh lebih lama, yang telah melakukan kesalahan-kesalahan.

“Ia adalah rahsia terbuka tetapi tetap dikekalkan, manakala Datuk Seri Tajuddin yang telah banyak menyumbang kepada UMNO bukan sahaja Pasir Salak bahkan seluruh negara telah digugurkan namanya atas alasan ingin memberikan kepada muka baharu, sedangkan telah dicadangkan pun di dalam salah satu kerusi di sana (Azwan Bro).

“Tajuddin telah menggerakkan untuk menyatupadukan orang-orang Melayu sejurus selepasPRU14 pada 2018,” katanya.

Dr Faizal yang mengimbas perjuangan Tajuddin di mana beliau telah memulakan gerakan Melayu Bangkit di Kampung Gajah dan seterusnya Himpunan Perpaduan Ummah iaitu pencetus kepada kerjasama antara UMNO dengan Pas tidak menjadi ukuran.

“Akibat daripada kerjasama UMNO dan Pas itu, UMNO dan BN telah memenangi tujuh Pilihan Raya Kecil (PRK) berterusan, bermula dengan PRK Cameron Highlands.

“Dengan kemenangan tersebut, UMNO telah dipelawa untuk menyertai Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan seterusnya sebahagian daripada kerajaan.

“Semua sumbangan beliau yang memulihkan kekuatan UMNO dan BN tidak mendapat pengiktirafan daripada Presiden UMNO dan tetap ditolak sebagai calon Parlimen Pasir Salak untuk PRU15,” jelasnya.

Sebagai langkah tambahan, Dr Faizal juga telah menggerakkan petisyen sokongan kepada Tajuddin dengan mengumpulkan lebih 3,000 tandatangan daripada akar umbi UMNO Bahagian Pasir Salak hanya dalam tempoh 24 jam.

“Petisyen ini kita telah sampaikan kepada beliau (Zahid Hamidi), kita kumpulkan tandatangan ini dalam tempoh 24 jam sahaja, tapi masih lagi nama Tajuddin ditolak calon Parlimen Pair Salak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette