PBM BN GE15 election
BN dijangka menang selesa PRU15- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan kini menjadi ‘rebutan’ komponen Barisan Nasional (BN) iaitu antara MIC, MCA dan juga UMNO.

Walaupun semalam Presiden BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah secara rasmi membuat pengumuman kerusi Batu telah menjadi milik MIC dengan calonnya, Naib Presiden MIC, Datuk Kohilan Pillay.

Namun pada sama MCA dan UMNO juga masih berharap untuk meletakkan calon masing-masing.

Petang tadi, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam sidang medianya memberitahu, calon mereka akan bertanding di kerusi Parlimen Batu dan bukannya MIC.

PRU-15: MCA bertanding di Parlimen Batu, bukan MIC – Ka Siong

 

Bagaimanapun pada masa dan hari yang sama, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, calon dari partinya, Kohilan tetap bertanding di kerusi itu.

Vigneswaran berkata, pihaknya akan terus berpegang kepada pengumuman Ahmad Zahid di WTC malam tadi.

“Sekarang ini sudah terlewat untuk MCA ingin tukar kerusi, MIC tetap bertanding di kerusi Batu.

“Saya tidak rasa pertukaran ini boleh dibuat, sebab sudah diumumkan pun dan diketahui semua. Bagi saya ini kelakar,” katanya.

Sebentar tadi, sumber UMNO Bahagian Batu pula berkata, pihaknya juga menuntut kerusi Batu itu diberikan kepada calon parti itu.

Difahamkan satu sidang media akan diadakan seandainya pihak-pihak ini berjaya mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid hari ini.

“Sebenarnya UMNO sudah lama buat kerja di sini, kita ada berpuluh-puluh NGO yang telah dikerah untuk gerak kerja turun padang lebih setahun dua ini, lagi-lagi ketika pandemik Covid-19.

”Kita sudah lama di sini, lawan kita juga bukan calang-calang jadi calon BN perlu yang sudah lama bertapak di sini.

“Kami semua belum lagi putus asa, tengoklah bagaimana nanti,” kata sumber itu.

Setakat artikel ini ditulis,  Parlimen Batu sudah ada lima calon mengesahkan penyertaan mereka dalam PRU, dua daripadanya adalah bebas personaliti media sosial, Cleopatra atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin dan peguam kontorversi, Siti Kassim.

PH sudah mengumumkan untuk mengekalkan calon penyandang, P Prabakaran, yang memenangi kerusi tersebut sebagai calon bebas pada 2018 sebelum dia menyertai PKR.

Ahli Parlimen sebelumnya dan bekas ketua PKR Cabang Batu, Tian Chua berharap dipilih semula bertanding dan membuat kemunculan semula namun tidak berjaya.

Parlimen Batu yang satu ketika milik BN pernah menjadi kubu Gerakan sebelum bertindak meninggalkan BN selepas 2018 dan menyertai Perikatan Nasional (PN).

Kerusi ini merupakan kawasan yang mempunyai 43 peratus pengundi Melayu, Cina 30 peratus, India 20 peratus dan lain-lain tujuh peratus. – MalaysiaGazette

Kohilan Pillay atau Arabath Ali di Parlimen Batu?