Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong bercakap pada sidang media mengenai Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 02 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – MCA mengesahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya calon dari parti MIC.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dicapai hasi perbincangan dengan Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Menurutnya, ia kerana kerusi Parlimen Padang Serai telahpun diberikan kepada MIC dan pertukaran kerusi itu patut diberikan kepada MCA.

“Selepas bertemu dengan pengerusi BN, beliau mengesahkan bahawa Batu sememangnya milik MCA,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Semalam, ketika pelancaran calon BN untuk PRU15, Ahmad Zahid mengumumkan kerusi itu akan ditandingi A. Kohilan Pillay dari MIC.

Bagaimanapun hari ini, Ka Siong menegaskan, MCA akan bertanding di kerusi tersebut dengan meletakkan calon Yew Teong Lock.

Pengumuman Ka Siong hari ini sekali gus menjelaskan ketidakhadiran pemimpin MIC pada majlis pengumuman calon malam tadi.

Parti itu juga mengadakan mesyuarat tergempar hari ini untuk memutuskan pendiriannya mengenai PRU15.

Awal hari ini, Presiden MIC S.A. Vigneswaran menyifatkan drama politik semasa dalam BN sebagai “isu keluarga” dan berkata jawatankuasa kerja pusat parti itu sedang bermesyuarat untuk menyelesaikannya.

Namun, Timbalan presiden parti M. Saravanan berkata, ketidakhadiran MIC pada majlis malam tadi kerana bakal calonnya sibuk dengan persiapan di kawasan masing-masing.

Sementara itu, Ka Siong menjelaskan, MCA meletakkan 17 muka baharu sebagai calon untuk pilihan raya kali ini.

Secara keseluruhannya beliau berkata, parti itu bertanding di 44 kerusi termasuk Batu.

Ini bermakna, MIC akan bertanding di sembilan kerusi sahaja.

Ka Siong turut memberitahu, MCA diberi kerusi Bandar Tun Razak dalam perjanjian pertukaran dengan UMNO sementara UMNO pula mengambil alih kerusi Wangsa Maju. – MalaysiaGazette