Calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin melaungkan kata-kata semangat bersama jentera yang hadir pada Majlis Bertemu Jentera BN sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pejabat UMNO Sungai Buloh, Kota Damansara, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2022.

PETALING JAYA – Meskipun menjadi calon underdog di Sungai Buloh namun Khairy Jamaluddin nekad memastikan Barisan Nasional (BN) tidak akan kalah di Parlimen tersebut buat kali keempat pada pilihan raya kali ini. 

Mengakui Sungai Buloh merupakan kerusi yang ‘gelap gelita’ dan tidak selamat untuknya namun Khairy bertekad untuk memenangi Parlimen itu untuk memastikan kawasan ini tidak lagi dipinggirkan pada masa akan datang.

“Bukan senang saya nak datang sini, saya terpaksa berusaha. Kalau saya buat kerja, sangat banyak. Saya tidak datang ke sini untuk kalah walaupun saya tahu kita kalah lebih 20,000 majoriti undi di sini sebelum ini.

”Tidak ada siapa nak masuk kandang naga. Tapi kali ini kita mesti menang. Tiga kali berturut-turut kita kalah kali ini saya datang dengan harapan.

“Saya juga datang sebab ini kawasan bandar. Saya tidak mahu kawasan-kawasan bandar tidak menjadi kawasan tumpuan semasa di bawah pimpinan BN,” ketika hadir  Majlis perjumpaan bersama jentera BN Sungai Buloh di pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, parti ini perlu berani untuk bertanding kawasan bandar termasuklah Sungai Buloh demi memastikan BN kembali menjadi kerajaan yang stabil.

“Saya mahu UMNO-BN berani dan mampu menawarkan khidmat kita di kawasan bandar kalau semua pemimpin UMNO-BN pergi ke kawasan selamat, tidak ada siapa datang sini untuk lawan di kawasan bandar.

“Bila begitu, selama-lamanyalah kita jadi parti luar bandar, tidak salah tapi apa akan jadi dengan bandar. Sebab 77 peratus penghijrahan dari luar bandar ke bandar di Malaysia,” jelas beliau,

Menyedari  kehadirannya di Sungai Buloh bakal memanaskan kerusi berkenaan, Khairy  tidak mahu kehadirannya sekadar bertanding.

Sebaliknya Khairy komited akan bekerja keras bersama jentera sehingga hari pengundian kelak.

“Kita jangan jadi penumpang dalam BN. Jangan jadi pelengkap hanya letak calon sahaja, kita hadir untuk menang bukan untuk bertanding semata-mata,” tambah beliau yang kali pertama turun berjumpa dengan jentera selepas namanya diumumkan semalam.

Ketibaannya pada 8.30 malam tadi disambut meriah dengan sorakan oleh para petugas jentera yang memenuhi perkarangan Pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh.

Menggunakan slogan Kita Jaga Sungai Buloh (KJ Sg Buloh), Menteri Kesihatan itu berkata, beliau akan mengumumkan manifesto khusus untuk Parlimen itu minggu depan.

Antara yang akan disentuhnya adalah aspek pendidikan dan kebajikan pengundi di kawasan berkenaan.

Khairy menegaskan tidak akan menjanjikan perkara-perkara yang tidak akan dilakukannya seperti pemansuhan tol.

“Jangan minta saya janji hapuskan tol, saya hanya buat janji yang masuk akal sahaja. Saya tidak akan menipu pengundi Sungai Buloh,” tambah beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast