KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengesahkan akan bertanding menentang calon Barisan Nasional di kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau bagaimanapun belum memutuskan parti mana yang akan ditandinginya namun memberi bayangan memilih tiket Perikatan Nasional.
Shahidan membuat keputusan itu selepas kecewa dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mencalonkannya semula di kerusi parlimen tersebut.
“Kalau saya calon boleh menang, saya akan bertanding. Kalau saya calon tak boleh menang, saya tak akan bertanding.
“Tiket apa itu nombor dua, yang penting saya tanya dengan cawangan-cawangan (UMNO), saya harus tanding atas tiket apa.
“Pada saya, mereka memilih tiket sebuah parti yang menggerak ke arah Muafakat Nasional yang lepas, yang melibatkan Pas dan Bersatu,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua-Ketua Cawangan Parlimen Arau di Pusat Khidmat Kubang Gajah, Arau, Perlis, malam ini.
Menurut Shahidan lagi, setakat ini belum ada sebarang perbincangan dengan Perikatan Nasional dan berharap parti tersebut akan menang dalam PRU15.
Barisan Nasional dalam pengumuman calon di WTCKL malam ini menamakan bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abdul Rahman sebagai calon di kerusi Parlimen Arau.
Shahidan semalam menerusi hantaran di Facebook memaklumkan semua Bilik Gerakan BN Parlimen Arau telah ditutup dan semua bendera parti turut diturunkan. – MalaysiaGazette
Haaa satu tindakan yg tepat untuk gugurkan musang berbulu ayam ni..tak habis2 dia dgn PN…dipersilakan masuk Bersatu laa..