Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan beliau tidak mempertahankan kerusi Parlimen Jeli pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Menteri Ekonomi itu berkata, keputusan ini sudah dimaklumkan pada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang dikenali sebagai Tokpa berkata, keputusan ini dibuat antaranya setelah mengambil kira nasihat doktor mengenai tahap kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang berkesan.

”Sehubungan ini, saya ingin menzahirkan ucapan setinggi terima kasih kepada semua rakyat di kawasan Parlimen Jeli yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama sepanjang saya merencanakan agenda pembangunan sosioekonomi di Parlimen Jeli sejak tahun 1995.

”Sesungguhnya, saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini untuk mewakili rakyat di Parlimen Jeli.

”Saya juga ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua sahabatsahabat yang menganggotai Jemaah Menteri atas segala bimbingan dan kerjasama yang diberikan sepanjang berada dalam barisan Jemaah Menteri.

”Terima kasih kepada kepimpinan kerajaan, penjawat awam Persekutuan dan Negeri serta Parti atas sokongan dan bantuan yang diberikan kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai Anggota Pentadbiran Kerajaan dan Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mustapa menyandang kerusi Parlimen itu sejak 1995.

Bagaimanapun beliau tewas kepada calon PasS, Mohd Apandi Mohamad dalam PRU10 pada 1999 sebelum memenanginya semula pada PRU11. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast